Tuesday, July 3, 2012

GURU MUDA


GURU MUDA
Di sini aku menapak
Membuang jauh segala keinginan
Membulatkan hati hingga pengakhiran

Bakti ini, infiniti
Keliru ingin menjawab
kerana tertanya mana lebih lama
selalu atau selamanya

lihat di kiri
anak muda hilang arah
orang lama di takuk lama

lihat kanan
terkapai anak muda
lalai orang lama

harus letakkan pada bahu
aku pemecah benteng kekeliruan
pelerai simpulan kekusutan
Pembina tugu semangat

Mungkin senang kau sebut
Tapi yang digalas adalah bibir-bibir hanyir
Yang menghambur segalanya
Melihat keangkuhan
Seolah daging yang dihiris nipis-nipis
Lalu air dititis-titis
Sampai ingin teriak
Biar koyak bibir yang merekah

Namun harus ditahankan
Melihat dari horizon berbeza
Kerana akulah suria yang tersipu
Dari ufuk timur setiap pagi

Walau tersipu di balik awan dan gunung
Tetapi aku pemula keceriaan setiap hari
Yang gah di pertengahannya
Sampai keringat bertitisan
Dan terus bersinar waktu malam
Berbantukan purnama
Yang menjadikan malam indah

Bersama sinar, di bawa kehangatan kasih sayang
Mengajar untuk mengatasi ketidakselesaaan
Diberi percuma pengalaman
Untuk mengajar kedewasaan

Akan melangkah setapak lagi
Walaupun harus merangkak
Takkan berhenti di pertengahan
Kerana akulah yang mengubah
Trenda minda anak muda.
Akulah guru muda.


No comments:

Post a Comment